Daging Salai Kuala Pilah

BUKAN hanya digemari masyarakat Negeri Sembilan, sebaliknya produk salai diminati oleh mereka dari negeri pantai timur seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Ini diakui pengusaha produk salai, Zairuslin Zainudin, 49, yang membuka kedainya di jalan utama Kuala Pilah-Seremban berhadapan Sekolah Kebangsaan Yamtuan Hitam, Terachi.

Bermula dengan modal RM300 dua tahun lalu, dia sekadar memacakkan payung niaga dan meja sahaja.

Namun kini, perniagaannya mula berkembang dan mampu membina kedainya sendiri.

“Alhamdulillah, ia semakin berkembang dan mendapat sambutan orang ramai. Produk salai seperti itik, daging, keli, ayam dan puyuh amat terkenal malah permintaan sentiasa berterusan dari semasa ke semasa.

“Jika orang datang ke Kuala Pilah, pastinya tidak akan melepaskan peluang beli produk salai di sini dan rata-rata pembeli yang ditanya, mereka dari Pahang,” katanya.

Daging tahan lama
Ditanya apa rahsia dan keenakan produk salai yang menjadi bual bicara masyarakat di sini, Zairuslin berkata, orang tua dahulu tidak mempunyai teknologi sejuk beku dan perlu memikirkan satu alternatif untuk menyimpan daging mentah dalam tempoh yang lama.

“Jadi, mereka akhirnya gunakan kaedah salai untuk simpan daging mentah dalam tempoh lama bagi mengelakkan daging busuk.

“Dan kaedah itu masih dipraktikkan penduduk sehingga kini kerana bukan sahaja tahan lama, tapi keenakan yang terhasil daripada aroma asap selepas disalai.

“Rasa daging itu akan menjadi lebih sedap bila terasa aroma asap ketika menjamu selera. Kebiasaannya daging akan dimasak lemak cili padi ataupun rendang,” katanya.

Jelasnya, itik dan ayam disalai boleh bertahan dalam tempoh seminggu jika tanpa dibekukan manakala daging lembu boleh bertahan sehingga sebulan.

Bagaimanapun katanya, kaedah salai perlu dilakukan dengan betul kerana jika tidak, daging masak tidak sekata.

“Biasanya, saya periksa suhu asap dari bara api supaya daging yang disalai sama rata. Kita mahukan daging lebih lembut selain tiada habuk kayu melekat. Biasanya, saya ambil masa dalam sejam ke dua jam untuk menyalai tetapi bergantung kepada saiz daging itu.

“Ada yang salai separuh masak dan ada yang 100 peratus masak. Biasa yang 100 peratus masak jika dibaluti rempah ratus khas dan boleh terus dimakan.

“Jika itik dan ayam, kedudukan bara api dengan daging digantung pada jarak satu kaki supaya terkena asap dalam tempoh yang lama,” katanya mampu terjual sehari sekitar 20 hingga 30 produk salai terutama pada hujung minggu dan cuti   persekolahan.

Harga bergantung saiz, berat
Zairuslin yang dibantu isterinya, Masita Md Pilus, 40, berkata, di kawasannya terdapat lebih 10 kedai salai dibuka.

“Saya jual seekor itik salai mengikut saiz antara RM38 hingga RM40, manakala ayam RM20 seekor, empat ekor keli RM10 dan daging lembu batang pinang ikut kilo.

“Kedai saya dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 9 malam pada hujung minggu dan pada hari biasa jam 12 tengah hari hingga 7 malam,” katanya.

Seorang pembeli dari Pahang yang enggan dikenali berkata, dia dari Seremban singgah di situ untuk membeli itik salai bagi dibawa pulang ke Pahang.

“Memang rasa enak bila masak dengan itik salai berbanding yang biasa.

“Tak rugi beli produk salai kerana boleh tahan lama malah sedap bila dimasak lemak cili api dan rendang,” katanya.

Credit to Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *